Jumaat, 28 Ogos 2009



Adakah Masjid Al-Aqsa pernah terbakar? Barangkali ramai lagi yang akan bertanya soalan yang sama. Ramai lagi umat Islam sekarang yang masih rabun akan tarikh keramat 21 Ogos 1969. Cuba kita bayangkan sekiranya berlaku penjajahan di negara kita, lalu Masjid Negara atau Masjid Jamek secara tiba-tiba diserang dan dibakar! Adakah kita akan hanya melihat dan berpeluk tubuh? Tidak! Sudah tentu kita akan mempertahankannya dengan darah dan nyawa kita. Masjidil Aqsa merupakan Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis Rasulullah.

“Janganlah mempersiapkan diri untuk bermusafir melainkan ke tiga buah masjid,
Masjid al-Haram, Masjid Rasul dan Masjid Al-Aqsa.”


TANGGAL 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam atau lebih dikenali dengan OIC lahir kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Kini, Al Quds dan Palestin yang penuh berkat menjadi tawanan para Yahudi laknatullah. Mereka juga meninggalkan luka yang sangat mendalam di segenap penjuru hati setiap Muslim yang inginkan kiblat pertama dibebaskan daripada cengkaman mereka. apakah tanggungjawab kita sebagai seorang muslim? Takkanlah nak biarkan begitu sahaja? Marilah bersama-sama kita sampaikan kepada mereka yang jahil mengenai hal ini....

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok dan mimbarnya yang besar (mimbar Sholehuddin). Mimbar ini dulu digunakan oleh Solahhuddin untuk Khutbah Jumaat setelah pembebasan Al-Quds
dari tentera Salib Api marak dengan dasyat sekali seolah-olah seluruh Masjidil Aqsa akan musnah ketika itu. Malah, pihak bomba juga tidak hadir menghulurkan bantuan. Tetapi Allah telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.Perpecahan umat Islam kini menyebabkan empayar Islam lemah dan mudah dibantai.

Kemusnahan tersebut melebihi satu pertiga kawasan bangunan masjid iaitu kira-kira 1500 meter persegi daripada keluasan asal 4400 meter persegi. Malah bahagian atap masjid juga roboh menyembah bumi dan begitu juga dua tiang utama serta lengkungan yang menanggung kubah masjid. Tingkap-tingkap yang indah berwarna-warni serta hiasan ayat-ayat al-Quran turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Dennis Michael Rohan. Lucunya, Michael mendakwa bahawa dia diutus Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita dari Kitab Zakaria. Kemudian, Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan gila. Maka, atas sebab itu, Michael tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut.

Negeri-negeri Muslim seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa. Keperitannya masih dirasakan sehingga ke hari ini. Rohan tidak bersendirian dalam jenayahnya itu. Dia mendapat sokongan dan koordinasi dari Rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid Al-Aqsa dihapuskan bagi memudahkan mereka membina Haikal Sulaiman di atas dataran suci itu.

Maka sejak itu, 21 OGOS setiap tahun menjadi Hari Al-Quds Sedunia.

Maka atas dasar apakah kita berdiam diri selama lebih 41 tahun penaklukan kota Al-Quds pada 7 Jun 1967 yang membawa kepada peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan lawatan kontroversi Ariel Sharon memasuki dataran Masjid Al-Aqsa pada 28 Sept 2000 dengan 600 tentera siap bersenjata dan lebih 3000 orang Yahudi untuk mengelilingi tempat suci itu?

Kejadian tersebut meningkatkan kemarahan umum sehingga berlaku Intifadhah (kebangkitan) rakyat Palestin yang sehingga ke hari ini api perjuangan dan penentangan mereka masih belum dapat dipadamkan. Rakyat Palestin sudah cukup terseksa dengan pembunuhan dan kekejaman zionis saban hari. Kematian sudah menjadi perkara biasa di bumi jihad itu. Akan tetapi, mengapakah Intifadhah meledak pada saat itu? Jawapannya kerana kesucian Masjid Al-Aqsa telah dinodai oleh tapak kaki Sharon yang mana merupakan Pemimpin Parti Likud yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Israel , malah dia juga adalah watak utama dalam peristiwa berdarah Sabra dan Shatila (1982).

Tidak menghairankan apabila semua umat Islam seluruh dunia 'terbakar' hati dan perasaan mereka kerana tindakan Rohan, 38 tahun lalu. Begitulah nasib Tanah suci umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.

Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan. Akibatnya, umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam. Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin.

Justeru, bersempena Sambutan Memperingati Hari Al-Quds Sedunia tahun ini, adalah amat wajar untuk kita sama- sama mengajak masyarakat sekeliling memperingatinya, apatah lagi merencana langkah strategik, efektif dan praktikal lagi kreatif demi menyumbang ke arah pembebasan Palestin.

Merasai Halawatul Iman...


Dalam kehidupan setiap umat telah diberikan nikmat iman oleh Allah swt. Dalam mencari kedamaian dan keharmonian hidup seharian,sebagai umat Islam kita mestilah mempunyai prinsip yang murni dan sihat. Tingkatan kenikmatan dan kemanisan iman yang dikecapi oleh seseorang bergantung kepada prinsip hidupnya iaitu kasih kepada Allah dan Rasul-Nya mengatasi segala-galanya disamping kasih kepada manusia,dengan tujuan menuntut keredhaan Allah dan benci kepada kekufuran. Sebagai manusia yang beriman,perkara kekufuran tidak seharusnya berlaku dalam kehidupan di dunia ini.Manusia yang tidak beriman akan selalu lupa kepada nikmat ciptaan Allah terhadapnya. Manusia yang tidak bersyukur akan menjadi kufur dan lupa akan tujuan mereka dihidupkan di dunai ini sebagai khalifahNya. Rasulallah saw menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud:

”Tiga perkara menyebabkan terasa kemanisan iman,Allah dan Rasul-nya hendaklah dicintai lebih daripada yang lain,mencintai manusia kerana Allah semata-mata dan benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya seseorang jika dicampakkan ke dalam api neraka”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Begitu tingginya tahap kemanisan iman yang harus dicapai setiap umat Islam. Mukmin tersebut akan merasai betapa bahagianya hidup menjadi umat Islam yang beriman dan berada dalam ketenangan dan kedamaian,merasai keinginan dan kelazatan lidahnya dengan berzikir mengingati Allah swt. Al-Quran pula sebagai petunjuk yang sentiasa mendidik dan memberi pengajaran kepada semua manusia untuk dapat membentuk keimanan yang sempurna.
Pendidikan iman manusia diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk. Iman mendidik manusia mengenal dan meyakini adanya perkara-perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman seperti percaya kepada hari akhirat,qada dan qadar seta syariat Islam. Keimanan antara lain memberi keyakinan bahawa manusia memerlukan pertolongan Allah dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi. Iman memberi peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya.Iman mendidik manusia supaya mencintai Allah dan Rasulullah serta keluarganya(Ahlu Al-bait) dengan membiasakan diri dengan membaca al-quran. Iman memberi motivasi dengan semangat untuk terus tekun berusaha,supaya manusia tidak bergantung kepada takdir semata-mata untuk mencapai kejayaan hidup. Melalui iman yang mantap,ia akan mengingatkan manusia supaya tidak melupakan kepentingan hidup di akhirat ketika hidup di dunia ini. Firman Allah swt yang bermaksud;

”Dan carilah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada(kebahagiaan)akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagian dari(nikmat)dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik terhadapMu” (Al-Qasas:77)

Iman merupakan faktor paling penting yang mendidik dan membentuk sahsiah manusia yang teguh dan berakhlak mulia,berakal budi murni serta memperlihatkan teladan yang baik. Jom sama-sama kita meningkatkan keimanan kita sempena kedatangan Ramadhan Kareem agar berjaya mencapai HALAWATUL IMAN

Khamis, 27 Ogos 2009

BADAR AL-KUBRA DENGAN KITA…

ASSALAMUALAIKUM W.B.T
Ramadhan Kareem menjelma lagi. Alangkah bahagianya diri ini apabila dikau hadir semula ke sisi. Ramadhan ingin kulafazkan kalimah rindu serta sayang kepada mu dengan kehadiranmu serta esakan kesedihan di hari pemergianmu nanti.

Alangkah indahnya jika Ramadhan yang hadir seketika buat kali ini dapat kita ambil muhasabah serta meningkatkan dan memperbaiki lagi diri kita sebaik mungkin. Pembaca sekalian sebenarnya dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak ini, kita dapat ambil pelbagai iktibar serta pengajaran dari setiap kisah yang berlaku di bulan yang pada awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah ataupun keampunan serta diakhirnya perlepasan dari api neraka sebagai pedoman hidup kita. Mungkin ramai dikalangan pembaca terfikir bagaimana caranya dan mengapa penulis berkata sedemikian. Bukanlah diri penulis ini seorang yang alim dari segi agama ataupun berjurus bak kata orang kelantan. Walaupun diri ini serba kekurangan, tetapi lebih baik cuba memberi dari tidak memberi langsung.

Baiklah sebagai contohnya, sukalah penulis mengambil kisah dari peperangan Badar al-Kubra yang merupakan antara peperangan terawal di zaman kebangkitan ISLAM serta yang disertai oleh para sahabat. Marilah sama-sama kita renung, bagaimana tentera ISLAM seramai 313 orang mujahidin dapat mengalahkan tentera kufar seramai 1000 orang musyrikin.
Pembaca sekalian, mungkin secara logiknya pasti ramai mengatakan bahawa ia adalah satu yanga mustahil untuk tentera ISLAM yang serba kekurangan dari segi kelengkapan perang dan angkatan perang untuk mengalahkan tentera musyrikin yang serba lengkap dari segi kelengkapan perang serta angkatan perang. Tetapi cuba kita renung denga hati yang tulus murni, pasti perkara ini tidak mustahil kerana telah tertanam satu keinginan didalam jiwa dan hati tentera muslim iaitu MATI SYAHID. Selain itu, tentera MUSLIMIN sendiri sentiasa memohon kepada Allah S.W.T agar diberi satu kemenangan yang gemilang didunia ataupun kemenangan di akhirat iaitu MATI SYAHID.

Tentu para pembaca terfikir dan tertanya apakah yang dapat kita ambil kaitan antara kehidupan kita dengan para MUJAHIDIN di medan Badar al-Kubra. Baiklah sebelum penulis terus menekan keyboard untuk merungkai persoalan tersebut, suka untuk penulis bertanya kepada para pembaca, adakah anda semua pernah berjumpa dengan kegagalan sepanjang nyawa dikandung badan? Tentu pernah bukan samaada dalam gagal dalam exam,percintaan mahupun perancangan seharian kita dalam hidup. Apakah perasaan anda semua ketika itu? Sudah pasti ada antara kita yang menangis kesedihan bagi kaum Hawa dan marah bagi kaum Adam. Mungkin lebih teruk ada yang menyalahkan Allah S.W.T atas kegagalan yang menimpa diri mereka. Jika pernah kita terfikir atau terlintas di fikiran kita untuk menyalahkan Allah S.W.T, jom penulis ingin mengajak semua untuk sama-sama kita merenung ayat Al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 216 "tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia tidak baik bagimu. Dan Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahui."

Baiklah bagi memenuhi janji yang telah dipateri, penulis akan cuba merungkai apa terfikir di ruang minda fikiran penulis untuk tatapan kita semua. Jom kita sama-sama muhasabah serta merenung kedalam hati dan jiwa kita sebelum ini, adakah sudah cukup dengan apa yang kita korbankan untuk mencapai kejayaan yang gemilang seperti mana yang dicapai oleh para mujahidin di medan Badar al-Kubra. Apakah pengorbanan yang kita curahkan sudah setaraf dengan para mujahidin atau mungkin kita boleh menambah satu lagi persoalan kepada jiwa, hati serta iman kita iaitu, adakah apa yang kita lakukan sebelum ini kerana Allah S.W.T, cintakan Rasulullah S.A.W dan sayangkan ISLAM itu sendiri. Pembaca yang budiman sekalian, ingatlah para mujahidin melakukan sesuatu perkara hanyalah kerana Allah S.W.T, cintakan Rasulullah S.A.W dan cintakan ISLAM itu sendiri. Oleh itu, jika sebelum ini kita melakukan sesuatu perkara kerana dunia,pangkat ataupun orang tersayang, marilah sama-sama kita menukar niat kita agar setiap apa yang kita lakukan selepas ini hanyalah kerana Allah S.W.T, cintakan Rasulullah S.A.W dan sayangkan ISLAM itu sendiri. Ini amat bertepatan dengan hadis baginda Rasulullah S.A.W mafhumnya “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

Seterusnya apa yang dapat kita kaitkan lagi dari kisah peperangan Badar al-Kubra dengan kehidupan seharian kita ini ialah sejauh mana kesungguhan kita berusaha serta berdoa kehadrat Allah S.W.T agar kita diberi kejayaan didalam cabaran dan dugaan yang kita tempuhi. Ingatlah sahabatku, setiap apa yang ingin kita lakukan kita perlu berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar diberi keberkatan serta kejayaan dalam apa yang kita lakukan. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T “ dan tuhanmu telah berfirman berdoalah kepadaku nescaya akanku perkenan kepadamu”

Tidak dapat tidak, kita selaku seorang muslim ataupun lebih tepat seorang hamba Allah S.W.T hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar diberi kejayaan serta keberkatan dalam setiap apa yang kita lakukan. Keberkatan juga merupakan antara elemen terpenting yang perlu ada untuk seseorang muslim mendapat kejayaan di dunia serta akhirat. Jika tiada keberkatan dari Allah S.W.T sudah pasti setiap apa yang kita lakukan tidak akan berjaya, mungkin ada yang akan berjaya tetapi ingatlah pasti kegagalan yang akan ditemui diakhirnya.

Tuntasnya, penulis memohon keampunan kehadrat Allah S.W.T andai apa yang penulis nukilkan tidak menjadi amalan seharian penulis dan penulis menyeru kepada diri penulis sendiri dan semua pembaca agar meningkatkan serta menambahkan lagi kualiti ibadah kita kehadrat Allah S.W.T didalam bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh dengan kenikmatan serta keberkatan ini. Para pembaca skalian sebelum penulis berhenti dari menekan keyboard untuk menamatkan bicara, marilah sama-sama kita renungkan kata-kata Khalifah Kedua dari Khulafa` Arrasyidin Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khatab R.A 'Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh ALLAH kerana ISLAM....'

WASSALAM

Jumaat, 21 Ogos 2009

Ahad, 9 Ogos 2009

Kini sudah mencapai 10 edisi !


BULETIN KAMPUS EDISI 10 [RAMADHAN 1430 H]

:: 10 Great Goals For This Ramadhan ::
:: Islam di Jepun ::
:: Air Mata Tafakur Ramadhan ::
:: The Philosophy Of ICT and Islam ::