PENA AMIR BAKTI 2010

SALAM PERJUANGAN BUAT PARA MUJADDID...


Assalamualaikum w.b.t...


      Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH S.WT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kesejahteraan ku kirimkan buat Rasul junjungan ummat, penutup para Rasul dan anbia’, pembawa risalah buat ummat sejagat, buat para Ahlul Bait dan para sahabat yang dinaungi oleh keredhaan ALLAH yang Maha Agung, kepada para penyambung risalah nubuwwah dan ummat Islam sekaliannya...

ALLAH S.W.T telah berfirman di dalam kalam Furqan-Nya yang mulia:


“Kamu (ummat Islam) adalah ummat terbaik yang dilahirkan bagi manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH...”


(Surah Ali-Imran:3;123)
   
 Saudara Muslimin dan Muslimat yang dikasihi ALLAH sekalian,

         Seringkali kita terdengar di corong-corong radio, terpampang di dada-dada akhbar, kaca-kaca televisyen, mahupun di internet sendiri, jenayah dan maksiat yang menggila. Sudah lali telinga ini mendengar kes-kes pembunuhan, rompakan, kecurian, rogol mahupun pencabulan, sudah puas mata ini melihat aurat yang tidak terjaga, keasyikan remaja berfoya-foya di sana-sini, ikhtilat dan pergaulan bebas di mana-mana, sudah cukup serik dan bosan dengan mehnah dan fitnah dunia. Namun wahai sahabat-sahabat sekalian, adakah cukup dengan kita hanya sekadar melihat? Adakah kita hanya menanti bila tibanya sangkakala ditiup, bilamana dunia ini hancur sehancurnya, baru kita mahu terngadah? Tidak, sekali-kali tidak. Ana tahu, kita semua bukan begitu, kita semua inginkan perubahan. Ingin lihat dunia ini dipenuhi keamanan. Tetapi, sahabat-sahabat sekalian, realitinya sekarang, bukan begitu. Kita hanya terus membincang dan menatap masalah, namun ingin ana persoalkan di sini, di mana solusinya? Hambar... kosong begitu sahaja...

         Ayuh, cubalah kita selami di mana silap kita. Dari segi kuantiti? Tidak... kuantiti ummat Islam sudah cukup ramai... Dari segi strategi? Kita sudah punya beratus-ratus bahkan beribu-ribu strategi mahupun cara dari para ulama’dan umara’, namun kenapa masih belum berhasil? Cuba kita imbas kembali ketika zaman para salafussoleh dahulu, Saidina Ali Karamallahuwajhah, berjuang di mana umurnya setahun jagung. Kota Andalusia, ditakluk oleh Panglima Tariq bin Ziyad yang masih belia remaja. Imam As-Syafi’e, mencapai tahap ulama’ mujtahid tika mana kita, masih tidak tahu arah tujuan dan matlamat hidup. Namun, tidakkah kita sedari, bahawa mereka semua ini berjaya, bermula dari tidak mengerti, namun ditarbiah dan dilatih, bermula dari pangkal lagi, berpandukan acuan Al-Quran, berlandaskan kalimah Tauhid, LA ILAHA ILLA ALLAH. Dengan manhaj dan kalimah inilah para mujahid Islam berjuang, terus berjuang, tidak pernah terdetik di hati untuk berputih mata. Mereka semua tidak menggunakan peralatan yang canggih dan berteknologi tinggi, tidak membutuhkan komputer mahupun IT, namun berpaksikan fikrah, keazaman dan keimanan yang mantap, dengan inilah mereka merubah dunia.

Saudara-saudari yang dirahmati ALLAH,

      Inilah solusinya!!! Penyelesai kepada masalah yang kian meruncing. Kembali kepada asalnya, ALLAH S.W.T dan mengislah daripada asas ataupun punca itu sendiri. Puncanya, iaitu iman yang goyah dan rapuh. Kita selalu menumpukan pembaikan dari segi akibat/lahiriah, tapi seringkali terabaikan punca/rohaniah itu sendiri. Gunakanlah kaedah yang dinamakan sebagai ‘inside-out’, bukanlah dengan kaedah ‘outside-in’. Namun bukanlah maksud ana dengan hanya menumpukan 100% kepada membersihkan hati, menyucikan jiwa, bersuluk dan lain-lain lagi... tidak!! Namun menggunakan kedua-duanya sekaligus dalam ertikata lain menggandingkan.



SOLAT/ZIKRULLAH + HUDUD/DENDA DLL = AMAN

(INSIDE)                          (OUTSIDE)



      Maka, sekarang ini sahabat-sahabat yang amat di-Rahmati ALLAH, penyelesaian sudahpun tersedia, namun di manakah pelaksanaannya? Kitalah pelaksana dan kitalah yang akan melaksanakannya!! ALLAH telahpun menjadikan saudara/saudari yang membaca kalam hamba yang hina ini sebagai penerima hidayah ALLAH. Mulakanlah sekarang, Ya Akhi, dan ingatlah, segalanya bermula darpada diri kita sendiri. ‘Everything is starting with ourself’. Teguhkanlah peganganmu, jangan pernah terlepas dari Al-Quran dan As-Sunnah, mantapkanlah akidah di hati dan ikutlah jalan para salafussoleh. Ingatlah, perjuangan itu bukannya mudah, jika tidak, pasti ramai yang menyertai. Akhir kalam, sama-samalah sahabat, kita menjadi khaira ummah dan para mujaddid yang digariskan Al-Quran. Semoga Islam terus gemilang dan kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH tak akan pernah hilang!! Takbir!!3x
                                                                                                         
                                                                                                            Kalam Al-Faqir-ila Rahmatillah
                                                                                                                                    Akhul Muslim_51