Khamis, 27 Ogos 2009

BADAR AL-KUBRA DENGAN KITA…

ASSALAMUALAIKUM W.B.T
Ramadhan Kareem menjelma lagi. Alangkah bahagianya diri ini apabila dikau hadir semula ke sisi. Ramadhan ingin kulafazkan kalimah rindu serta sayang kepada mu dengan kehadiranmu serta esakan kesedihan di hari pemergianmu nanti.

Alangkah indahnya jika Ramadhan yang hadir seketika buat kali ini dapat kita ambil muhasabah serta meningkatkan dan memperbaiki lagi diri kita sebaik mungkin. Pembaca sekalian sebenarnya dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak ini, kita dapat ambil pelbagai iktibar serta pengajaran dari setiap kisah yang berlaku di bulan yang pada awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah ataupun keampunan serta diakhirnya perlepasan dari api neraka sebagai pedoman hidup kita. Mungkin ramai dikalangan pembaca terfikir bagaimana caranya dan mengapa penulis berkata sedemikian. Bukanlah diri penulis ini seorang yang alim dari segi agama ataupun berjurus bak kata orang kelantan. Walaupun diri ini serba kekurangan, tetapi lebih baik cuba memberi dari tidak memberi langsung.

Baiklah sebagai contohnya, sukalah penulis mengambil kisah dari peperangan Badar al-Kubra yang merupakan antara peperangan terawal di zaman kebangkitan ISLAM serta yang disertai oleh para sahabat. Marilah sama-sama kita renung, bagaimana tentera ISLAM seramai 313 orang mujahidin dapat mengalahkan tentera kufar seramai 1000 orang musyrikin.
Pembaca sekalian, mungkin secara logiknya pasti ramai mengatakan bahawa ia adalah satu yanga mustahil untuk tentera ISLAM yang serba kekurangan dari segi kelengkapan perang dan angkatan perang untuk mengalahkan tentera musyrikin yang serba lengkap dari segi kelengkapan perang serta angkatan perang. Tetapi cuba kita renung denga hati yang tulus murni, pasti perkara ini tidak mustahil kerana telah tertanam satu keinginan didalam jiwa dan hati tentera muslim iaitu MATI SYAHID. Selain itu, tentera MUSLIMIN sendiri sentiasa memohon kepada Allah S.W.T agar diberi satu kemenangan yang gemilang didunia ataupun kemenangan di akhirat iaitu MATI SYAHID.

Tentu para pembaca terfikir dan tertanya apakah yang dapat kita ambil kaitan antara kehidupan kita dengan para MUJAHIDIN di medan Badar al-Kubra. Baiklah sebelum penulis terus menekan keyboard untuk merungkai persoalan tersebut, suka untuk penulis bertanya kepada para pembaca, adakah anda semua pernah berjumpa dengan kegagalan sepanjang nyawa dikandung badan? Tentu pernah bukan samaada dalam gagal dalam exam,percintaan mahupun perancangan seharian kita dalam hidup. Apakah perasaan anda semua ketika itu? Sudah pasti ada antara kita yang menangis kesedihan bagi kaum Hawa dan marah bagi kaum Adam. Mungkin lebih teruk ada yang menyalahkan Allah S.W.T atas kegagalan yang menimpa diri mereka. Jika pernah kita terfikir atau terlintas di fikiran kita untuk menyalahkan Allah S.W.T, jom penulis ingin mengajak semua untuk sama-sama kita merenung ayat Al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 216 "tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia tidak baik bagimu. Dan Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahui."

Baiklah bagi memenuhi janji yang telah dipateri, penulis akan cuba merungkai apa terfikir di ruang minda fikiran penulis untuk tatapan kita semua. Jom kita sama-sama muhasabah serta merenung kedalam hati dan jiwa kita sebelum ini, adakah sudah cukup dengan apa yang kita korbankan untuk mencapai kejayaan yang gemilang seperti mana yang dicapai oleh para mujahidin di medan Badar al-Kubra. Apakah pengorbanan yang kita curahkan sudah setaraf dengan para mujahidin atau mungkin kita boleh menambah satu lagi persoalan kepada jiwa, hati serta iman kita iaitu, adakah apa yang kita lakukan sebelum ini kerana Allah S.W.T, cintakan Rasulullah S.A.W dan sayangkan ISLAM itu sendiri. Pembaca yang budiman sekalian, ingatlah para mujahidin melakukan sesuatu perkara hanyalah kerana Allah S.W.T, cintakan Rasulullah S.A.W dan cintakan ISLAM itu sendiri. Oleh itu, jika sebelum ini kita melakukan sesuatu perkara kerana dunia,pangkat ataupun orang tersayang, marilah sama-sama kita menukar niat kita agar setiap apa yang kita lakukan selepas ini hanyalah kerana Allah S.W.T, cintakan Rasulullah S.A.W dan sayangkan ISLAM itu sendiri. Ini amat bertepatan dengan hadis baginda Rasulullah S.A.W mafhumnya “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

Seterusnya apa yang dapat kita kaitkan lagi dari kisah peperangan Badar al-Kubra dengan kehidupan seharian kita ini ialah sejauh mana kesungguhan kita berusaha serta berdoa kehadrat Allah S.W.T agar kita diberi kejayaan didalam cabaran dan dugaan yang kita tempuhi. Ingatlah sahabatku, setiap apa yang ingin kita lakukan kita perlu berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar diberi keberkatan serta kejayaan dalam apa yang kita lakukan. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T “ dan tuhanmu telah berfirman berdoalah kepadaku nescaya akanku perkenan kepadamu”

Tidak dapat tidak, kita selaku seorang muslim ataupun lebih tepat seorang hamba Allah S.W.T hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar diberi kejayaan serta keberkatan dalam setiap apa yang kita lakukan. Keberkatan juga merupakan antara elemen terpenting yang perlu ada untuk seseorang muslim mendapat kejayaan di dunia serta akhirat. Jika tiada keberkatan dari Allah S.W.T sudah pasti setiap apa yang kita lakukan tidak akan berjaya, mungkin ada yang akan berjaya tetapi ingatlah pasti kegagalan yang akan ditemui diakhirnya.

Tuntasnya, penulis memohon keampunan kehadrat Allah S.W.T andai apa yang penulis nukilkan tidak menjadi amalan seharian penulis dan penulis menyeru kepada diri penulis sendiri dan semua pembaca agar meningkatkan serta menambahkan lagi kualiti ibadah kita kehadrat Allah S.W.T didalam bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh dengan kenikmatan serta keberkatan ini. Para pembaca skalian sebelum penulis berhenti dari menekan keyboard untuk menamatkan bicara, marilah sama-sama kita renungkan kata-kata Khalifah Kedua dari Khulafa` Arrasyidin Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khatab R.A 'Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh ALLAH kerana ISLAM....'

WASSALAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan